Salmonella: Syarikat import mentega kacang jenama Jif diminta tarik balik produk di pasaran

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengarahkan syarikat yang mengimport produk mentega kacang berjenama ‘Jif’ untuk menarik balik produk itu daripada pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia berikutan semakan yang dijalankan KKM ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) yang mendapati produk itu telah diimport ke negara ini.

Beliau berkata KKM mengambil maklum berhubung isu penarikan balik produk itu dari pasaran Amerika Syarikat (AS) dikhuatiri ia tercemar dengan bakteria Salmonella melalui notifikasi yang diterima dari ‘International Food Safety Authorities Networks’ (INFOSAN).

“Notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif, dengan nombor kumpulan di antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga digit terakhir 425 ditarik balik, kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella.

“Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noor Hisham berkata,Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) KKM akan terus memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk itu memasuki Malaysia.

“Penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 dengan serta-merta, manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut,” katanya.

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh mengakibatkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan yang tidak dititik beratkan kebersihannya dan tidak diproses dengan sempurna.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat atau kemusykilan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau menyalurkannya melalui laman sosial Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) atau di laman sesawang http://moh.spab.gov.my