Setelah tiga tahun tertangguh, Muzikal PGL dibatalkan

0
232

Hampir tiga tahun tertunda, akhirnya Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) terpaksa dibatalkan menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat Enfiniti (M) Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu lagi, meskipun mereka cukup komited dengan seni persembahan dan memegang kata-kata ‘the show must go on’, namun situasi berbeza dilalui kali ini.

“Namun, pada masa sama, kami tidak mampu menolak ada masanya keadaan sebaliknya berlaku.

“Selepas meneliti semua pilihan yang ada, kami dengan berat hati memaklumkan Muzikal Puteri Gunung Ledang yang sudah lama dirancang terpaksa dibatalkan,” kata kenyataan itu.

Menurut syarikat milik Puan Sri Tiara Jacquelina ini lagi, mereka sangat menghargai sokongan dan dokongan yang diberikan oleh peminat sejak mengumumkan pementasan ini.

Paling mengujakan ketika itu apabila peminat sudah pun membeli tiket namun mereka terpaksa menangguhkan persembahan yang sudah memasuki edisi keempat itu kerana penularan Covid-19.

“Berikutan pembatalan ini, kami akan mengembalikan bayaran pembelian tiket secara berperingkat mulai 1 Julai hingga 31 Disember depan.

“Dalam jangka masa 14 hari, anda akan menerima emel daripada kami berhubung butiran dan tindakan lanjut mengenai pemulangan bayaran secara online.

“Bayaran pemulangan akan dilakukan secara sistematik bersama agensi tiket. Justeru, kami mohon anda bersabar sepanjang proses ini berlangsung,” tambah kenyataan itu lagi.

Sebagai sebuah syarikat produksi bertaraf antarabangsa, Enfiniti juga memohon maaf kepada semua pihak yang kecewa dengan pembatalan Muzikal PGL ini.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang tiket Muzikal PGL atas kesabaran dan pertimbangan anda pada waktu yang tidak terduga ini.

“Kami berharap agar anda akan terus menyokong industri seni persembahan yang telah terjejas teruk sejak dua tahun lalu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here