PN, PH perlu segera kenal pasti ‘kepentingan bersama’ – Penganalisis

Hanya dengan itu usaha penyatuan boleh dirintis bagi tumbangkan BN.

0
475

GABUNGAN parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu segera mengenal pasti kepentingan bersama bagi merintis penyatuan dan kerjasama sesama mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Rusdi Omar, ‘kepentingan bersama’ itu boleh menjadi kunci kepada penyatuan yang selama ini dianggap mustahil oleh banyak pihak ekoran sejarah kerjasama lalu.

Beliau menegaskan, tanpa penyatuan dan kerjasama, PH dan PN seolah-oleh sudah memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN)

“Kepentingan bersama ini adalah ‘common interest’, yang dia boleh bawa dan, semua boleh terima kerana hendak memperjuangkan parti masing-masing agak sukar.

“Contoh common interest ni, dari segi rasuah. Semua parti bersetuju, pemimpin semua perlu ada integriti, tiada rasuah dan sebagainya,” katanya kepada SatuBerita.

Beliau diminta mengulas sikap sesetengah pemimpin PH yang masih berkeras enggan untuk mengadakan sebarang kerjasama bagi menumbangkan BN pada PRU-15 akan datang.

Rusdi berkata, kepentingan bersama yang dipersetujui itu boleh disertakan ke dalam manifesto gabungan tersebut untuk menyerlahkan lagi hala tuju perjuangan mereka kepada orang ramai.

Hal ini sekali gus menjadi tarikan kepada pengundi, khusunya dalam kalangan pengundi atas pagar yang dapat membantu meningkatkan peluang mereka semasa pilihan raya akan datang.

“Kepentingan bersama ini juga penting kerana dapat mengelakkan berlakunya pergolakan antara parti sehingga berlakunya keretakan dalam kerjasama tersebut nanti,” ujarnya.

Mengulas lanjut Rusdi berkata, PN dan PH tidak mempunyai peluang cerah untuk memenangi hati rakyat sekiranya berlaku pertembungan melebihi dua penjuru dalam sesuatu kawasan.

“Kalau wujudnya tiga penjuru antara parti pembangkang dengan BN, kemenangan besar dimenangi oleh BN.

“Kalau kita tengok dalam dua PRN di Melaka dan di Johor, tanpa kerjasama daripada PH dan PN, saya tak nampak mereka boleh berjaya dalam PRU-15. Ini memberi satu kelebihan kepada BN,” katanya.

Rusdi berkata, sikap hormat menghormati dan saling mempercayai juga perlu ditanam bagi memastikan kerjasama yang terjalin lebih utuh dan mampu bersaing dalam jangka masa yang lebih panjang.

Perkara ini dilihat berdasarkan pengalaman lalu yang menyaksikan pergolakan antara parti disebabkan tiada kerjasama dan kepercayaan sesama mereka.

“Setiap parti-parti ini mesti hormat menghormati antara satu sama lain dan bersikap sehati sejiwa, barulah boleh membentuk satu perikatan pembangkang yang kuat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here