[VIDEO] Harga barang naik: ‘Tolong lakukan sesuatu, rakyat semakin terjerut’ – Tinjauan

0
526

HARGA barangan keperluan yang meningkat dengan mendadak sejak beberapa minggu lalu sedikit sebanyak meletakkan masyarakat berada dalam keadaan tersepit untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Tinjauan SatuBerita di sekitar Jalan Bangsar, Kuala Lumpur mendapati rata-rata orang ramai bimbang dengan situasi kenaikan harga barang yang disifatkan melampau dan merayu agar pihak kerajaan mencari jalan penyelesaian berhubung isu berkenaan.

Seorang peniaga gerai makanan, Mohd Azubir Sururi, 37 berkata, keuntungannya menjual sup daging semakin merosot ekoran kenaikan harga barangan mentah di pasaran yang semakin meningkat.

“Situasi yang sedang kita lalui sekarang ini sangat memberi kesan.Kita nak cari barang sudah satu hal, nak bandingkan harga barangan pun sudah satu hal. Sebab kami penjual nak naikkan harga sesuka hati pun agak kesian dekat pelanggan. Mereka pun mahu isi perut mereka.

“Tapi dengan situasi hari ini, kalau dulu kami boleh dapat untung sehingga 50 peratus, tapi kerana kenaikan harga barangan ini, keuntungan sebanyak 30 peratus pun cukup-cukup sahaja,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Tambahnya, harga bahan-bahan masakan yang terdapat di pasaran kini seolah-olah tidak masuk akal apabila meningkat sehingga tiga kali ganda seperti daun bawang daripada RM6 sekilo kini mencecah RM24 sekilo serta cili api kini berharga RM18 sekilo daripada RM7 sekilo.

Peniaga gerai buah-buahan, Kan Lai Chan, 63 tahun berkata, dirinya sebagai peniaga turut tidak sampai hati untuk meningkatkan harga buah-buahan yang dijual kerana merasakan pelanggannya juga sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan.

“Jadi untung saya tak banyak. Hidup banyak kena tampung, mahu bagi anak-anak makan lagi. Sekarang demam pun semua kena pakai duit. Susah…

“Saya harap kerajaan pandang sikit kepada masalah harga barang ini. Berikan lebih banyak perhatian. Rakyat perlukan bantuan sekarang,” ujarnya.

Bagi seorang kakitangan swasta, Kalaiyrasi Shandrasekaran, 35 tahun pula berpandangan bahawa rakyat di negara ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila terpaksa menghadapi kenaikan harga barang ketika masih bergelut untuk memulihkan ekonomi masing-masing selepas pandemik.

“Kalau barang dah naik harga, gaji kita bukan semakin naik. Bertambah miskin ada lah… rakyat sengsara.

“Ini bukan masalah seorang, ini masalah seluruh rakyat Malaysia. Jadi, kita mengharapkan kerajaan lakukan sesuatu. Bukan kita nak harapkan kerajaan negara lain. Tolong bagi satu penyelesaian yang bagus untuk rakyat,” luahnya. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here