Thailand benar rakyat Malaysia bawa pulang kenderaan tersadai tanpa caj selama sebulan

0
348

THAILAND membenarkan kenderaan milik rakyat Malaysia yang tersadai di negara itu akibat sekatan antarabangsa berikutan pandemik COVID-19, dibawa pulang tanpa sebarang caj selama sebulan bermula 1 hingga 30 Jun depan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kenderaan mereka boleh dibawa pulang menerusi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang. 

“Perkara ini telah dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama 13 agensi yang terlibat baru-baru ini, sejajar dengan pembukaan sempadan antarabangsa antara Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 1 Jun ini. 

“Oleh itu, rakyat Malaysia tidak dapat membawa kenderaan ataupun tersadai di Thailand semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu boleh berbuat demikian selama satu bulan bermula 1 Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Jubli Perak Infra Quest Sdn Bhd (IQSB) bagi tahun 2022, di Kota Bharu, Kelantan yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau amat memahami kekangan yang dihadapi rakyat dan aduan yang diterima untuk membawa pulang kenderaan mereka yang tersadai di Thailand.

“Banyak rungutan dan aduan berkaitan kenderaan mereka tersadai di Thailand kerana terpaksa menanggung kadar caj bergantung selama mana tempoh kereta mereka ditinggalkan. 

“Jadi saya minta supaya rakyat di negara ini supaya segera bertindak kerana selepas berakhir tempoh itu, caj akan berkuat kuasa semula,” katanya.– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here