[VIDEO] Milik mangsa MH370, MH17?

Kereta terbiar di medan parkir KLIA1 jadi tanda tanya.

0
173

SEOLAH-OLAH sebuah penantian yang tiada penghujung, begitulah nasib kereta-kereta yang dibiarkan terbiar di medan letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1).

Sejumlah kereta berkenaan ibarat tidak bertuan apabila dibiarkan selama bertahun-tahun di tempat medan letak kereta berkenaan sehingga kotor dan disaluti habuk tebal.

Malah, terdapat individu yang mendakwa antara kereta yang ditinggalkan di situ merupakan milik penumpang pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada Mac lapan tahun lalu, atau milik mangsa MH17 yang terhempas di Ukraine pada Julai tahun sama.

Tinjauan SatuBerita ke medan meletak kereta di KLIA sememangnya terdapat kira-kira 8 buah kereta yang tersadai di ketiga-tiga blok bangunan berkenaan yang disaluti habuk dan tayar kempis menandakan telah lama ditinggalkan.

Beberapa kereta berkenaan turut diconteng dengan tulisan ‘Korban MH370’ , ‘#PrayForMH370’ serta kata-kata kesat.

Bagaimanapun, seorang petugas di parkir berkenaan mengatakan bahawa pihak mereka sendiri tidak dapat mengenal pasti siapa pemilik sebenar kereta-kereta tersadai itu.

“Kereta yang tersadai di sini ada banyak sebab, ada yang ditinggalkan kerana pemilik sudah tidak mampu bayar, ada pemilik yang memang tinggal untuk tempoh yang lama kerana keluar negara untuk beberapa tahun dan sebagainya. Jadi kami juga tidak pasti siapa pemiliknya.

“Tapi kalau kita kata kereta berkenaan milik mangsa MH370, tidak logik masih ada keluarga mangsa yang tidak menuntut kereta mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut petugas itu lagi, walaupun terdapat banyak kereta terbiar di medan tempat letak kereta berkenaan, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menarik keluar kereta-kereta itu melainkan mempunyai laporan daripada pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Malah kami juga tidak boleh tarik kereta keluar kalau tiada pemiliknya bersama bersama laporan polis atau JPJ. Siapa tahu, yang datang tarik kereta itu pencuri?” ujarnya lagi.

Bagaimanapun katanya, pihak Malaysia Airports akan mengambil tindakan merampas kereta-kereta berkenaan sekiranya dibiarkan terlalu lama sehingga mencecah 10 tahun. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here