Selangor, Negeri Sembilan sepakat tanam jagung

0
431

PROJEK Usahasama Tanaman Jagung Bijiran yang akan dijalankan di Gemas, Negeri Sembilan dan Kuala Langat, Selangor dijangka membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung sehingga tiga peratus.

Menurut Berita Harian, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek itu adalah usahasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar Negeri Sembilan-Pemerbadanan (MBINS) yang diadakan di bawah Program Inisiatif Sekuriti Makanan.

“Projek ini sebagai tanda komitmen dalam menyelesaikan isu kenaikan harga makanan ayam sekali gus mengurangkan kebergantungan jagung bijirin import.

“Projek di atas tanah seluas 283.2 hektar (700 ekar) itu akan dimulakan sebaik sahaja kerja pembersihan selesai, yang dijangka pada suku ketiga tahun ini,” kata Amirudin.

Dalam memastikan projek ini berjalan lancar, sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) telah dihasilkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Pegawai Kanan Negeri merangkap Pengarah Urusan MBINS, Datuk Mohd Khidir Majid telah menandatangani dokumen tersebut.

Mohamad Khairil turut berkata, usahasama itu sebagai langkah untuk menstabilkan harga makanan ayam, terutamanya di kawasan Lembah Klang.

“Apabila siap kelak, projek ini mampu menghasilkan sebanyak kira-kira 5,490 tan jagung bijiran setiap tahun untuk dipasarkan kepada pemain industri ternakan tempatan.

“Dengan pasaran jagung bijirin semasa iaitu RM1,950 setiap tan, projek ini mampu menjana pendapatan sebanyak RM10.7 juta setahun,” katanya.

Mohamad Khairil juga berkata, MoU ini akan diperluaskan pada masa akan datang menerusi dokumen perjanjian yang lebih terperinci untuk meneroka potensi khususnya membabitkan tanaman makanan ternakan lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here