[VIDEO] Muhyiddin terima kunjungan Menteri Luar Singapura, Pesuruhjaya Tinggi Australia

Membincangkan mengenai pengurusan pasca pandemik COVID-19 termasuk pemulihan ekonomi serta kenaikan harga barang mentah global.

0
328

HUBUNGAN dua hala Malaysia dan Singapura, serta pengurusan pasca pandemik COVID-19 termasuk pemulihan ekonomi kedua-dua negara antara perkara yang dibincang ketika Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut Muhyiddin, dalam pertemuan itu, beliau menekankan isu pemulihan ekonomi dalam bidang pelancongan ekoran pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang berjalan dengan jayanya.

Katanya, kekerapan dan destinasi penerbangan antara perkara yang perlu ditingkatkan di antara kedua-kedua negara bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik sebelum ini.

Tambah beliau, isu sekuriti makanan turut disentuh dalam perbincangan tersebut memandangkan Dr Vivian turut menyatakan kebimbangan yang sama.

“Saya dan Menteri Luar Singapura turut bersetuju mengenai kebimbangan harga bahan mentah global yang semakin meningkat naik akibat pelbagai faktor luar,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Vivian turut menyampaikan penghargaan Kerajaan Singapura di atas segala bantuan dan pemudah cara sewaktu kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, terutamanya ketika wabak COVID-19 mula melanda kedua-dua negara.

Sementara itu, dalam pertemuan yang berasingan, beliau turut menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia, Dr Justin Lee ke Malaysia.

Menurut Muhyiddin, pemulihan ekonomi Malaysia dan Australia, isu politik dan kenaikan harga barang mentah global merupakan antara perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut.

“Dr Justin turut menyampaikan penghargaan Kerajaan Australia kepada saya dalam meningkatkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara sepanjang kepimpinan saya sebagai Perdana Menteri.

“Saya menyatakan komitmen kepada beliau sebagai Pengerusi MPN untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang kini dirangka secara lebih komprehensif serta inklusif bagi memastikan pemulihan seterusnya yang bersifat menyeluruh.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua delegasi  Singapura dan Australia yang telah mengadakan kunjungan hormat tersebut pagi ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here