Berjuta masuk akaun Najib tetapi tidak didedahkan dalam mesyuarat 1MDB – Saksi

0
320


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mendedahkan dalam mana-mana Mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bahawa beliau menerima wang berjuta-juta daripada syarikat pelaburan strategik negara itu dalam akaun peribadi Ambank beliau. 

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir berkata beliau juga tidak menyedari sebuah syarikat, Tanore Finance Corporation telah memindahkan wang berjumlah US$681 juta ke dalam akaun peribadi Najib berakhir dengan 694 antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013.  

Saksi ke-12 pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu yang didakwa menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB. 

Azmi ditunjukkan satu siri transaksi bank mengenai dana 1MDB antara 2013 hingga 2014 oleh Sri Ram yang kemudiannya menunjukkan RM45.8 juta lagi daripada dana 1MDB dimasukkan ke dalam satu lagi akaun peribadi Ambank yang berakhir dengan 880.

Sri Ram: Adakah akaun 694 dan 880 itu milik awak?

Azmi: Tidak. Akaun-akaun itu milik Datuk Seri (Najib)

Terdahulu, Sri Ram menyoal saksi itu sama ada beliau mendapat manfaat kewangan daripada 1MDB dan jawapan Azmi adalah negatif.

Azmi juga berkata beliau tidak pernah mendapat satu sen pun daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sepanjang perkhidmatannya dalam syarikat itu.

Sri Ram kemudian menyoal saksi itu sama ada Najib pernah memanggil Azmi kerana beliau merupakan CFO mengenai perkara yang tidak kena mengenai dana kekayaan berdaulat tersebut selepas perkara itu dilaporkan secara meluas oleh media.

Sri Ram: Anda tidak pernah membangkitkan mengenai kebimbangan anda (mengenai perkara yang tidak kena) kepada Najib sedangkan kamu boleh melakukannya beberapa kali. Sepanjang perkhidmatan anda di 1MDB, pernahkah Najib menegur kamu?   

Azmi: Tidak, tidak pernah malahan kontrak saya diperbaharui.

Sri Ram: Bolehkan tertuduh memanggil kamu mengenai perkara yang tidak kena itu?

Azmi: Beliau boleh melakukannya tetapi saya tidak ingat beliau memanggil saya apabila isu itu timbul dalam kalangan rakyat dan media. Saya tidak ingat beliau memanggil kami (pengurusan) untuk disoal. 

Sri Ram: Jika beliau memanggil kamu, adakah kamu akan pergi?

Azmi: Saya tidak nampak bagaimana saya boleh menolaknya.

Dalam pertanyaan lanjut Sri Ram, Azmi berkata beliau tidak pernah ditegur Najib selepas melaksanakan setiap arahan  Jho Low yang beliau percaya merupakan arahan daripada Najib sendiri.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung Rabu.

— BERNAMA

Tuesday , 17 May 2022

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here