Sedia hadapi kenaikan mendadak makanan berasaskan gandum

0
435

SITUASI tidak menentu bekalan gandum di peringkat global bakal menyaksikan kenaikan harga mendadak makanan berasakan tanaman itu di negara ini.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi, Lee Heng Guie berkata, tindakan India yang menyekat penjualan eksport gandum ke pasaran global bakal memburukkan lagi keadaan.

“Disebabkan situasi tegang yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine serta keputusan India untuk menghentikan eksport gandum, perkara ini akan mengurangkan bekalan gandum di seluruh dunia.

“Berbanding dengan permintaan yang tinggi, pembekal akhirnya terpaksa memilih untuk meningkatkan harga harga jualan barangan berasaskan gandum,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Jelasnya, meskipun Malaysia lebih cenderung untuk mendapatkan bekalan tanaman ini daripada Australia dan Kanada, persaingan dengan negara-negara asing akan menyebabkan negara tidak dapat memperolehi barangan tersebut berdasarkan keperluan dan permintaan oleh pengguna.

Selain itu, Lee turut meramalkan peningkatan harga makanan berasakan gandum mungkin akan dirasai walaupun terdapat peningkatan harga barang dapur dua bulan yang lalu.

“Kenaikan harga barangan sudahpun berlaku. Kalau kita lihat semula, beberapa bulan sebelum ini pun, ada kenaikan harga roti dan bahan-bahan lain. Mungkin akan ada kenaikan lagi,” tambahnya.

Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil sebagai pengguna, Lee melihat masyarakat perlu peka akan hal ini dengan mencari alternatif untuk mendapatkan makanan harian dengan memilih barangan yang lebih murah dan mudah didapati di pasaran.

Namun, dia turut percaya kebergantungan rakyat negara ini terhadap gandum tidaklah tinggi sehingga krisis makanan ini bakal menyukarkan orang ramai untuk mendapat makanan harian mereka.

“Berbanding negara-negara lain, seperti Australia dan negara-negara Eropah, makanan ruji di Malaysia merupakan nasi. Jadi, krisis ini tidaklah terlalu membebankan rakyat,”

Pengarah EKsekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi, Lee Heng Guie

Selain itu, Lee turut membincangkan beberapa tindakan sewajarnya yang boleh diambil kerajaan dalam memastikan krisis ini dapat dikawal dan tidak berpanjangan.

“Penetapan harga siling yang ditetapkan kerajaan dalam mengawal kenaikan harga barangan, seperti yang dilakukan sebelum ini mampu membantu krisis ini dalam jangka masa pendek.

“Namun, tindakan yang lebih proaktif perlu diambil untuk membantu pengeluar dalam memastikan stok barangan keperluan mencukupi. Sekiranya tiada tindakan susulan, perkara ini akan menyebabkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung pengeluar yang boleh menyebabkan mereka tidak mampu membekalkan barangan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga boleh bertindak dengan mengurangkan duti import bagi membantu mengawal harga barangan, termasuk gandum di pasaran negara.

Penurunan ini dilihat sebagai langkah positif yang sesuai diambil bagi menurunkan kos import, sekali gus mengurangkan risiko kenaikan harga yang mendadak – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here