Cecah RM8 juta, Mat Kilau arahan Syamsul tuai perhatian

0
1072

LARI dari kebiasaan dan mengangkat kisah pejuang tanah air merupakan antara intipati penting dalam naskhah Mat Kilau.

Filem arahan Syamsul Yusof ini bukan sahaja menjadi taruhan sebaliknya adalah penanda aras kepada sinema tanah air khususnya.

Menelan belanja RM8 juta, Mat Kilau bukan dilihat berjaya kos yang tinggi tetapi berjaya mengangkat sejarah penting Tanah Melayu dengan naskhah biografi epik yang diceritakan sejak zaman berzaman.

Diterbitkan oleh Studio Kembara Sdn Bhd, penerbitnya, Shahruddin Dali menganggap apa yang divisualkan merupakan sejarah penting untuk dilihat oleh generasi baharu hari ini.

“Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur. Banyak perkara yang kita garap untuk kembali bercerita kisah penting sejarah Tanah Melayu.

“Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita.

“Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” kata Shahruddin yang menganggap filem Mat Kilau sebagai medan untuk berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Datuk Adi Putra menggalas tanggungjawab menghidupkan kembali watak Mat Kilau di dalam filem arahan Syamsul Yusof itu.

Dia dibantu dengan barisan pelakon yang bukan calang calang, termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem yang mengisah seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British tersebut turut dikuatkan dengan barisan pelakon tanah air lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, dan Ellie Suriaty.

Menelan belanja RM8 juta, Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Antara barisan pelakon filem Mat Kilau.

Mat Kilau dibikin dalam suasana  tahun 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.

Kisah perjuangan menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan hati pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanah air tercinta tersebut bakal menemui penonton menerusi 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun depan.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here