Tiada kompromi jika sekolah sorok kes buli-Dr. Radzi

0
393

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pentadbiran atau pengurusan sekolah yang cuba menyorokkan kejadian buli jika berlaku di institusi pendidikan.

Tegas Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, pihak sekolah perlu lebih telus melaporkan maklumat atau kejadian berkaitan buli bagi membantu menyelesaikan masalah.

“Pihak sekolah tidak boleh menyorokkan kes buli yang berlaku termasuk di asrama dan pihaknya mengambil perhatian serius terhadap perkara itu.

“Jika ada sekolah yang cuba sorokkan kes buli, kami tidak akan berkompromi atau bertoleransi, sama juga pada pihak yang cuba menutup kes, KPM akan ambil tindakan.

“Kita perlu telus dalam melaporkan kejadian buli bagi memberi kesedaran kepada anak-anak supaya mereka ini mempunyai sikap yang empati dan kasihan kepada rakan-rakan mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di Bachok, hari ini.

Mengulas lanjut, KPM katanya, memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk menyelesaikan isu buli dan penting untuk menerapkan nilai kasih sayang antara pelajar di sekolah.

“Sepanjang pandemik, interaksi anak-anak menjadi terhad dan persekolahan bersemuka yang kembali bermula ini akan membolehkan mereka lebih banyak berinteraksi serta bergaul dengan lebih baik,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menerima tiga laporan berkait kejadian pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di Nilai yang dipercayai dicederakan pelajar senior.

Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana kecederaan di beberapa bahagian badan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here