India larang eksport gandum kuat kuasa serta-merta

0
1508

SUSULAN kejadian gelombang haba dan cuaca panas terik yang menjejaskan hasil tanaman, India telah melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta meskipun terdapat permintaan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun menurut laporan BH Online, Kerajaan India menjelaskan pihak mereka masih membenarkan eksport yang membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan.

Kini, pembeli di peringkat global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua terbesar di dunia ini untuk mendapatkan bekalan selepas eksport dari wilayah Laut Hitam terjejas berikutan krisis pencerobohan Russia terhadap Ukraine.

Sebelum larangan itu dijalankan, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum tahun ini.

Larangan ini mampu mengakibatkan peningkatan harga jualan gandum ke peringkat baharu, sekaligus menjejaskan penggunaan di negara-negara Asia dan Afrika.

April lalu, peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India untuk melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun selain mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa Bank Pusat perlu meningkatkan kadar faedah dengan lebih agresif untuk mengekang harga.

Harga gandum di India mencatat peningkatan kepada rekod tertinggi, dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) setiap tan berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan, iaitu 20,150 rupee (RM1,143).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here