Selesai segera isu kanak-kanak gelandangan di Sabah

0
296

PEMUDA Parti Liberal Demokratik (LDP) menggesa kerajaan segera menyelesaikan masalah kanak-kanak gelandangan di Sabah.

Ketua Pemuda LDP Pusat Jimmy Lai berkata, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan wajar bersama-sama kerajaan mencari jalan penyelesaian berkenaan.

“Ia bagi mengelak daripada terjadinya masalah sosial apabila pelancong datang semula ke sini kerana isu berkenaan mampu menjejaskan imej Sabah.

“Walaupun pelbagai pihak sudah mengutarakan perkara berkenaan tetapi sehingga kini tiada tindakan positif diambil oleh pihak berwajib,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak gelandangan ini juga mengganggu pengguna jalan raya dengan mengetuk cermin kereta di lampu isyarat untuk meminta duit.

Katanya, keadaan itu menyebabkan rakyat kecewa dengan pihak berwajib dan perkara berkenaan boleh membawa kepada insiden tidak diingini.

Menurutnya, semua pihak tanpa mengira perbezaan perlu bersama-sama mengatasi masalah itu.

“Jangan sampai terjadinya sesuatu yang tidak diingin baharulah tergesa-gesa untuk mengatasinya.

“Satu tindakan perlu diambil untuk menyelesaikan perkara ini secara tuntas dan bukannya membiarkan keadaan seumpamanya berlaku sehingga mampu menjejaskan imej Sabah di mata pelancong seluruh dunia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here