Kes baharu Covid-19 melonjak, catat 3,321 kes

0
419

JANGKITAN baharu COVID-19 terus meningkat dengan 3,321 lagi kes direkodkan semalam, peningkatan berterusan selepas tiga hari berturut-turut melepasi angka 2,000 jangkitan harian sejak Ahad lalu.

Laman sesawang COVIDNOW melaporkan 3,311 daripada keseluruhan jangkitan baharu itu membabitkan kes tempatan dengan 10 lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini 4,467,061 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Selangor terus merekodkan kes baharu paling tinggi dengan 1,220 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 573 kes, Negeri Sembilan (288 kes), Perak (221 kes), Pulau Pinang (208 kes) Putrajaya (182 kes) dan Melaka (140 kes).

Negeri lain mencatatkan pertambahan kes baharu dua angka iaitu Kedah dengan 98 kes, Johor (88 kes), Pahang (73 kes), Sarawak (71 kes), Sabah (57 kes), Terengganu (42 kes), Sabah (57 kes), Kelantan (37 kes), Labuan (14 kes) dan Perlis (sembilan kes).

Setakat ini 24,850 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 94.1 peratus atau 23,385 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu 1,373 individu mendapatkan rawatan di hospital, 34 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan, 33 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 dan ICU serta tidak memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, laman sesawang sama melaporkan lapan kes kematian direkodkan semalam termasuk tiga kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), menjadikan angka korban di negara ini sehingga kini meningkat kepada 35,598 kes.

Turut dilaporkan 1,416 kes sembuh, sekali gus meningkatkan jumlah individu yang pulih di negara ini kepada 4,406,613 kes.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitter memaklumkan, kementeriannya sudah menjangkakan peningkatan kes selepas perayaan Aidilfitri.

Bagaimanapun, Khairy berkata masyarakat perlu membiasakan diri dengan situasi berkenaan iaitu terdapat peningkatan atau penurunan kes COVID-19 pada masa tertentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here