ADUN Telemong diumum calon pertama PRU-15

0
25

PENGERUSI UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Datuk Rozi Mamat sebagai calon pertama yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Ahmad, Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu pada PRU-15.

Pihaknya yakin kerusi Parlimen yang pernah menjadi milik parti itu pada PRU-14 akan dirampas kembali.

“Beliau (Rozi) ketua bahagian yang mendapat undian terbesar di Terengganu ketika PRU-14 dengan majoriti lebih 4,000.

“Kita kalah di Ajil cuma empat undi, Kuala Berang kita kalah (dan) Insya-Allah, kita boleh ambil balik dengan Ajil yang susah sedikit mungkin di Manir.

“Jadi kombinasi ini dengan muka-muka baharu dan sebagainya, mungkin kita boleh (menang).

“Insya-Allah, kita yakin Parlimen Hulu Terengganu jadi milik Umno dan Rozi selepas ini,” katanya yang mengumumkan perkara itu pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Umno Bahagian Hulu Terengganu di pekarangan Pejabat ADUN Telemong di Kuala Berang, hari ini.

Untuk rekod, Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan enam daripadanya dimenangi Pas iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman manakala UMNO memenangi dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, kerusi Hulu Terengganu menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Datuk Rosol Wahid keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here