Pelajar lelaki meninggal dunia ketika merentas desa di Terengganu

0
188

SEORANG pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Marang, meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata dalam kejadian pada 8.34 pagi itu, pelajar tersebut, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.

“Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.

“Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

“Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.

Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here