Guna ambulans elak kesesakan, sebuah keluarga ditahan polis

0
219

GARA-gara tidak mahu menghadapi kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan, sebuah keluarga di Bogor, Jawa Barat, Indonesia mengambil keputusan untuk menyewa sebuah ambulans sukarelawan.

Perkara itu disedari pihak polis apabila kenderaan kecemasan itu dipandu secara laju dan melawan arus di Simpang Gadog, Ciawi sambil menyalakan siren.

Ketua Polis Bogor, AKBP Iman Imanuddin memaklumkan ambulans itu pada awalnya ditahan untuk melihat sekiranya ambulans itu membawa pesakit.

Namun, hasil pemeriksaan mendapati ambulans sukarelawan itu hanya membawa sebuah keluarga yang dalam perjalanan untuk melancong.

“Terdapat tiga wanita, dua kanak-kanak dan empat orang lelaki termasuk pemandu di dalam ambulans tersebut,” ujarnya kepada Kompas.com, Sabtu lalu.

Tambah beliau, pihak polis turut mendapati ambulans tersebut tidak dilengkapi keperluan serta peralatan perubatan.

Sebaliknya, ia hanya dipenuhi beberapa barangan percutian, seperti bantal, permaidani dan bekalan makanan.

“Keluarga yang ditahan itu turut mengakui bahawa mereka menaiki ambulans kerana ingin segera sampai ke Puncak Bogor,’ ujar Iman lagi.

Pemandu serta keluarga itu akan didakwa kerana menyalahgunakan aset kecemasan – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here