Sultan Johor kurnia darjah kebesaran tertinggi negeri kepada PM Singapura, Isteri

0
226

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Menurut laman Facebook rasmi Sultan Johor, 70, Lee dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) yang membawa gelaran Datuk.

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) kepada isteri Perdana Menteri Singapura Ho Ching yang baru bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings yang membawa gelaran Datin Paduka.

Majlis pengurniaan itu diadakan dalam satu majlis penuh istiadat berlangsung di Istana Besar Johor turut disempurnakan oleh Permasuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta kerabat Diraja Johor yang lain.

Johor sebelum ini mengurniakan darjah kebesaran tertinggi kepada pemimpin Singapura sebagai mengukuhkan hubungan persahabatan antara Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama.

Mereka termasuk mendiang bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew, yang menerima anugerah S.P.M.J pada 9 April 1984 sempena hari keputeraan Almarhum Sultan Iskandar ke-52.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah pengurniaan darjah kebesaran tertinggi kepada Lee terus mengukuhkan hubungan persahabatan erat Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama.

“Hubungan Johor dan Singapura terjalin sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi dari Istana Johor ini terus mengukuhkan hubungan dua hala.

“Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura diatas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Singapura dan Johor,” titah Sultan Johor.

Terdahulu, Lee dan delegasi tiba di Istana Besar menaiki kereta rasmi pada 9.30 pagi manakala Sultan Ibrahim tiba lima minit kemudian.

Turut hadir pada istiadat berkenaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here