Aliff Iskandar seronok beraya sakan bersama keluarga

0
817

PERNAH mengalami episod terpaksa berpuasa di kuarantin MAEPS, Serdang tahun lalu, kali ini Aliff Iskandar, 22, pulang beraya di Kelantan bersama keluarga.

Jelasnya, dia masih terkenangkan kisah dijangkiti Covid-19 pada tahun lalu dan terpaksa menghabiskan lebaran di Kuala Lumpur sahaja ketika itu.

“Memang tahun lalu merupakan satu pengalaman paling berharga buat saya memandangkan terpaksa beraya di rumah sahaja. Seminggu sebelum Aidilfitri saya dikuarantin di MAEPS dan dibenarkan keluar beberapa hari sebelum raya.

“Kalau nak diikutkan memang itu pengalaman yang paling tak dapat dilupakan memandangkan terpaksa beraya di Kuala Lumpur. Tapi waktu itu pun semua orang tak dapat beraya di kampung juga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya bercerita.

Lebaran kali ini, penyanyi yang popular dengan lagu Takdir itu bersyukur Daly meraikan bersama keluarganya di Pasir Mas selama seminggu.

Jelasnya, ini merupakan tahun kedua dia beraya sebagai seorang artis baharu dan sudah pasti perasaan teruja dan gembira bercampur baur menyambut kedatangan Aidilfitri.

Ditanya adakah dia berbelanja besar untuk meraikan lebaran kali ini, Aliff hanya bersederhana sahaja dalam segala hal.

“Saya tidak berbelanja besar pun untuk meraikan lebaran. Cukuplah bersederhana sahaja memandangkan mahu mengelakkan pembaziran.

“Apa yang paling penting adalah dapat bersama dengan keluarga. Bagi saya itu sudah menggembirakan memandangkan sudah dua tahun kita tidak berkumpul sama,” tambahnya.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, Aliff gembira apabila terlibat sama dalam drama Raya Sakan yang akan disiarkan pada 1 Syawal, pukul 9 malam di TV2.

Selain Aliff yang turut terlibat dalam penggambaran tersebut termasuklah Wahid Senario, Bell Ngasri, Ezad Lazim, Baby Shima, Reedzwan, Lia Aziz dan ramai lagi.

Jelasnya ini merupakan pengalaman pertama dia terlibat dalam bidang lakonan dan memberikan seronokkan berganda buat orang baharu sepertinya.

“Semua pelakon senior banyak membantu saya semasa penggambaran berlangsung. Jadi perasaan kekok dan terasing tu tak wujud bila berada di set.

“Kalau ada peluang memang saya mahu teruskan bidang ini pada masa hadapan l. Tapi fokus tetap kepada bidang nyanyian memandangkan itu memang minat saya sejak kecil,” tambahnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here