Indonesia, Thailand raya esok, Singapura sambut Aidilfitri Selasa

0
235

MUFTI Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.

Ini bermakna umat Islam di Singapura tidak akan menyertai rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Raya pada 2 Mei.

“Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.

“Ini bererti esok (2 Mei) adalah hari pencukup bulan Ramadan selama 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa (3 Mei),” katanya dalam video yang disiarkan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Majlis Ugama Islam Singapura).

MABIMS ialah akronim kepada Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok (2 Mei), demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini.

Sementara itu, rakyat Indonesia akan menyambut Aidilfitri esok, kata Menteri Hal Ehwal Ugama, Yaqut Cholil Qoumas.

Menteri berkenaan membuat pengumuman mengenai tarikh sambutan Aidilfitri di kementeriannya di Jakarta malam ini.

Umat ​​Islam di Thailand pula akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin, umum Sheikul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon.

“Seperti yang diumumkan kepada umat Islam Thai di seluruh negara tarikh untuk melihat anak bulan baharu selepas matahari terbenam pada Ahad, 1 Mei, bagi menandakan hari pertama Syawal, disahkan bahawa anak bulan baharu telah kelihatan.

“Jadi, dengan ini, saya mengisytiharkan Isnin, 2 Mei sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here