PH sokong Tengku Maimun, pertahankan kebebasan badan kehakiman

0
228

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menyokong penuh kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkenaan situasi semasa yang melanda badan kehakiman negara ketika ini.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama menyebut, pihaknya sentiasa mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman negara ini.

PH mengingatkan bahawa perkara itu juga termaktub dalam Perkara 4.1 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan PH yang menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan perlu “memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman.”

“Justeru, PH menggesa Kerajaan Persekutuan memastikan MoU itu terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.

PH berkata, Majlis Presiden menyokong penuh kenyataan Tengku Maimun bahawa “apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan tohmahan terhadap hakim dan Badan Kehakiman agak keterlaluan”.

Amatlah jelas, Badan Kehakiman yang bebas menjadi tunjang kepada negara dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat,” kata kenyataan itu.

Pada Rabu, Tengku Maimun berkata walaupun rakyat termasuk ahli politik, pada tahap tertentu, bebas untuk mengkritik, ia tidak bermakna mereka boleh melancarkan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu, bagi kepentingan mereka sendiri.

Menyedari terdapat banyak kes berprofil tinggi yang membabitkan kepentingan awam sedang dibicarakan di mahkamah, Tengku Maimun menambah, hakim dan badan kehakiman dijangka terdedah kepada kritikan dan tuduhan tidak berasas oleh mereka yang terkesan akibat keputusan mahkamah.

Keadaan itu akan berlaku terutamanya jika sesuatu keputusan perbicaraan itu tidak memihak kepada mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here