300,000 rakyat Indonesia akan berkerja di Malaysia selepas Aidifitri

0
182

Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

INDONESIA menjangkakan lebih 300,000 rakyatnya akan masuk ke negara ini untuk bekerja selepas sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, kemasukan tersebut akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Jumlah tersebut dijangka bertambah mengikut permintaan pasaran kerja di Malaysia yang sedang mengalami kekurangan tenaga kerja asing.

“Jumlah 300,000 itu adalah berdasarkan anggaran warganegara Indonesia yang pulang ke tanah air mereka sepanjang tempoh penutupan sempadan antarabangsa Malaysia sebelum ini.

“Sehubungan itu, kita menasihati semua rakyat Indonesia untuk menggunakan saluran yang betul dan bukan berhijrah ke negara ini sebagai
PATI (pendatang asing tanpa izin),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau warga Indonesia balik kampung di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, peringatan itu harus diberikan kerana masih ramai pihak yang merisikokan keselamatan diri mereka dengan menaiki bot-bot kecil
dan menggunakan laluan tikus masuk ke negara ini.

Menurutnya, jika rakyat Indonesia datang ke negara ini dan menjadi PATI, banyak masalah akan timbul selain menjadi persoalan terhadap hubungan antara kedua-dua negara.

“Ini kerana saya yakin Malaysia amat mengalu-alukan tenaga kerja Indonesia tetapi mestilah menggunakan saluran yang betul mengikut
undang-undang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan semua penerbangan dan juga perkhidmatan feri dari Malaysia ke Indonesia penuh ketika ini dengan majoritinya pulang bagi menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga.

“Saya difahamkan semua penerbangan ke Indonesia ketika ini penuh, begitu juga dengan pengangkutan feri, sama ada di Stulang Laut di sini ataupun di Terminal Feri Pasir Gudang.

“Namun trend ini dijangka semakin berkurangan kerana majoriti mereka sudah pulang sebelum ketibaan Ramadan lalu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here