Tak halang anak masuk bidang seni – A Aida

0
858

MELIHATKAN kecenderungan minat anak keduanya, penerbit Datuk A Aida tidak kisah sekiranya Wan Azevanatassha, 21, terlibat dalam dunia hiburan tempatan.

Dia sedar minat dan kecenderungan anak yang mesra disapa dengan panggilan Natassha itu lebih terarah kepada bidang seni meskipun kini sedang menuntut dalam bidang perakaunan.

“Sejak dahulu lagi saya sudah memberikan galakan kepadanya untuk membuat apa sahaja yang diminati. Dia boleh menyanyi dan boleh juga bermain alat muzik.

“Kalau dah boleh main gitar dan menyanyi tu, teruskan sahaja minat. Buat video nyanyian dan masukkan di YouTube. Mana tahu boleh pergi jauh,” katanya berterus terang.

Sebelum ini beberapa video nyanyian Natassha tular dalam aplikasi TikTok dan mendapat perhatian ramai termasuklah bebeberapa komposer.

Bakat yang dimiliki oleh Natassha sebenarnya sudah lama dihidu oleh A Aida namun gadis berkenaan tidak mahu aktif secara serius dan melakukannnya secara suka-suka sahaja.

“Dia sudah ada semua, boleh sahaja kalau nak buat album dan sebagainya. Tapi dia tak mahu, katanya menyanyi sekadar suka-suka dan bukannya nak jadi artis pun.

“Sayang pula kalau bakat yang ada tak digunakan sebaik mungkin. Tengoklah pada masa hadapan, mana tahu dia berubah hati,” tambahnya lagi.

Pada dasarnya, bukan Natassha sahaja yang berbakat dalam bidang nyanyian sebaliknya anak sulungnya juga, Wan Az Aleesa, 26, boleh menyanyi dengan baik.

Kedua-dua mereka merupakan anak hasil perkahwinan A Aida dengan penyanyi Ameng Spring.

“Kedua-dua anak Ameng ni memang boleh menyanyi. Tapi mereka lebih cenderung kepada bidang pelajaran dan mahu teroka bidang lain.

“Natassha sekarang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Aleesa pula sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana.

“Tak apalah, kalau kita paksa terjun dalam bidang seni pun tak boleh. Kalau dia dah bersedia nanti, kita sokong sahajalah,” kata A Aida lagi.

Selain kedua-dua anak tersebut, A Aida juga memiliki seorang anak lelaki, Mohamad Rahul, hasil perkahwinan dengan seorang pengawal polis sebelum ini.

Dalam pada itu, A Aida gembira apabila industri seni semakin pulih selepas melalui episod ‘menyedihkan’ angkara pandemik yang melanda dunia sebelum ini.

Sebagai seorang penerbit, dia gembira apabila banyak kelonggaran sudah diumumkan oleh kerjaaan dan dalam masa membolehkan industri kreatif terus berkembang.

“Ini masa terbaik untuk kita sama-sama bersatu semula dan menghidupkan kembali bidang seni. Semua sudah melalui fasa genting sebelum ini jadi sekarang kita kena bangkit semula,” katanya ringkas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here