[VIDEO] RM18,000 lesap gara-gara iklan My Maid, termasuk duit KWSP

Ditipu sindiket tawarkan servis cuci rumah

0
398

NIAT seorang lelaki untuk mendapatkan servis membersihkan rumah menjadi pengalaman ngeri, apabila ditipu sindiket penipuan sehingga hampir seluruh simpanan di dalam bank miliknya lesap.

Muhammad Nor Izzudin Hamzah, 32, langsung tidak menyangka dia sendiri akan menjadi mangsa penipuan meskipun sentiasa berwaspada setiap kali membuat transaksi.

Katanya, segalanya bermula apabila dia tertarik dengan satu iklan berbayar mengenai servis untuk membersihkan rumah di laman Facebook, dan terus menekan pautan ke aplikasi WhatsApp yang disediakan untuk bertanya mengenai servis berkenaan pada Jumaat lalu.

“Setelah kami berbincang, orang yang dihubungi itu meminta saya memuat turun aplikasi yang disediakan atas nama My Maid. Ketika itu, saya tidak syak apa-apa kerana saya fikir kalau ditipu pun, mungkin hanya akan rugi RM20 sahaja untuk deposit servis itu.

“Apabila cuba melakukan transaksi, aplikasi berkenaan meminta saya memasukkan kata laluan Maybank2U saya. Namun laman itu agak pelik daripada Maybank2U yang biasa. Cuma ketika itu saya tidak sedar. Apabila saya mengisi kata laluan, transaksi itu gagal,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Izzudin turut berkongsi pengalaman di akaun Facebook miliknya.

Bagaimanapun, perunding Takaful itu mencuba lagi untuk membuat transaksi, namun gagal sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada individu yang dihubungi menerusi WhatsApp. Mereka bersetuju untuk membuat pembayaran secara tunai selepas mendapatkan servis tersebut.

“Kira-kira dua jam sekitar jam 4.25 petang, saya mendapat satu notifikasi yang mengatakan saya membuat transaksi. Kebiasaannya kalau kita membuat transaksi dalam jumlah yang besar, sepatutnya kita perlu memasukkan kod transaksi TAC. Tetapi kali ini, tiada permohonan dapatkan TAC.

“Saya menyangka ada hutang atau sebagainya, tetapi bila tengok kepada nama di notifikasi itu, saya kenal pun tidak. Saya bingung dan syak sesuatu tidak kena dan terus hubungi Maybank untuk menyekat semua transaksi,” ujarnya.

Namun, dalam beberapa minit Izzudin mendapat dua lagi notifikasi mengesahkan dia melakukan transaksi lain sebelum menyedari hampir seluruh duit simpanannya di dalam akaun bank itu lesap, dengan anggaran kerugian sebanyak RM18,000.

Izzudin membuat laporan polis, dan masih berurusan dengan pihak bank bagi mendapatkan kenyataan butiran lengkap transaksi berkenaan.

“Hampir semua duit saya hilang termasuk duit KWSP yang baru sahaja masuk dua hari sebelum itu, serta komisyen bulanan saya. Yang tinggal hanya RM20 sahaja,” luahnya lagi.

Kecewa dengan kejadian itu, Izzudin mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang transaksi, namun Izzudin lebih berharap agar bank meningkatkan kempen kesedaran mengenai modus operandi sindiket penipuan.

“Sistem bank sudah cukup bagus, namun tidak semua pelanggan celik teknologi dan peka dengan situasi semasa dan kadang-kadang kita terlepas pandang. Jadi kesedaran perlu dirancakkan lagi.

“Seperti contoh, kes seperti saya ini, ada bank yang buat video kesedaran namun hanya dimuat naik di laman YouTube mereka sahaja. Kalaulah mereka iklankan video tersebut di media sosial, sekurangnya boleh capai lebih ramai pengguna.

“Penipu atau scammer ini bijak dengan modus operandi mereka, namun bank perlu satu langkah lebih kehadapan dalam menyalurkan maklumat kepada pelanggan dalam memastikan keselamatan dan peringatan kepada pelanggan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here