Kelab berkuda untuk rakyat

0
251

AKTIVITI menunggang kuda kini tidak lagi dilihat satu riadah luar yang mewah apabila ada kelab menunggang kuda dan rekreasi di sini menawarkan yuran pendaftaran mampu bayar.

Pengasas Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC), Datuk Terry Teo, berkata kelabnya kini dikenali sebagai Kelab Berkuda Rakyat dengan yuran pendaftaran hanya RM50 setahun bagi satu keluarga.

Malah, katanya, pelbagai keistimewaan sukan berkuda sudah diuar-uarkan dan ramai mengandaikan kemahiran menunggang kuda boleh dikuasai segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

“Hari ini kita meraikan tahun ke-12 DARC, dari 2010 pembukaannya sehingga sekarang. Dalam masa 12 tahun ini, kita sudah ada kira-kira 25,000 ahli,” katanya kepada media di majlis berbuka puasa sempena pelancaran Ulang Tahun Ke-12 Penubuhan DARC, pada Ahad.

Hadir sama, Tengku Syarif Temenggung Perlis Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad;  Pengasas Golden Horse Digital Investment Bank (GHDIB), Tan Sri Lee Kim Yew dan kira-kira 400 tetamu yang juga ahli kelab berkenaan di antara 2010 sehingga 2022.

Terdahulu, tetamu dipertontonkan barisan kuda yang ditempatkan di kelab berkenaan seperti Appaloosa, Warmbloodm Quarter Horse, Andalusian, Friesian dan kuda berbulu keemasan Akhal-Teke.

Arena serbaguna di DARC.

Satu arena serbaguna turut dirasmikan serentak pelancaran ulang tahun DARC, iaitu gelanggang khas yang akan digunakan untuk latihan kuda ketika pertandingan dan sebagai tempat parkir kenderaan apabila majlis tertentu diadakan di situ.

Antara kuda baka Akhal-Teke yang dimiliki DARC.

Terry berkata, ketika ini, DARC memiliki enam ekor kuda daripada baka Akhal-Teke, spesies kuda yang menjadi lambang kebangsaan Turkmenistan.

“Saya peminat tegar kuda, bukannya penunggang. Saya sudah bersama kuda sejak tahun 2007. Niat saya akan cari kuda yang paling cantik, iaitu baka Akhal-Teke dan impian saya kini sudah tercapai” katanya.

Mengenai perancangan masa depan DARC, beliau berkata kelab itu akan kerjasama dengan Majlis Ekuestrian Malaysia (MEM) dan EAM untuk pembangunan yang menjaga pertandingan serta latihan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here