‘PATI mungkin akan menceroboh, mencuri kerana lapar’ – Polis Kedah

0
379

TAHANAN etnik Rohingya yang masih bolos selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, di Bandar Baharu, disifatkan berbahaya kerana mereka boleh melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata dalam keadaan diri sedang kelaparan, mereka dibimbangi akan menceroboh rumah penduduk atau melakukan sebarang tindakan luar kawalan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita khuatir kemungkinan akan wujud elemen jenayah dilakukan mereka, seperti menceroboh atau mencuri di rumah penduduk.

“Tidak mustahil mereka juga akan bertindak di luar kawalan demi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, hari ini.

Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 147 KK,” katanya.

Wan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, ada seramai 23 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertugas mengawal kawasan depot.

“Namun dalam rusuhan itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan hanya berlaku sedikit kerosakan kecil di pintu utama serta pagar.

“Disebabkan terlalu ramai tahanan dengan kawasan yang agak sempit, ia menjadi tidak terkawal dan tahanan mengambil kesempatan melarikan diri,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, seramai 176 daripada 528 tahanan yang melarikan diri itu sedang diburu, dengan mereka dipercayai masih berada di kawasan sekitar.

“Kebanyakan tahanan yang masih bebas ini hanya berkaki ayam dan agak mudah untuk dikenal pasti berdasarkan pemakaian mereka.

“Kita percaya ada segelintir daripada mereka menahan dan menumpang kenderaan orang ramai. Justeru, diharapkan mereka yang menumpangkan golongan ini segera menghubungi polis,” katanya.

Selain itu, Wan Hassan berkata, pihaknya melancarkan Op Cantas yang turut membabitkan kontinjen Pulau Pinang untuk mengesan tahanan masih bebas.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, enam tahanan terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Jawi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here