Remaja lelaki ada ekor, sami kata dia ‘jelmaan dewa’

0
325

SEORANG remaja bertekad tidak akan menyembunyikan lagi ekor yang tumbuh pada bahagian belakangnya selepas sekumpulan sami mendakwa dia ialah ‘jelmaan dewa’.

Kisah Deshant Adhikari, 16, dari Nepal itu kini tular dalam media sosial termasuk TikTok dan YouTube.

Memetik laporan Mirror, pada mulanya, dia berasa malu dengan ekor sepanjang 70 sentimeter itu dan menyembunyikannya dari pandangan orang ramai.

Ibu bapa Deshant juga pernah membawanya ke beberapa hospital di Nepal dan negara-negara lain untuk mendapatkan rawatan.

Namun, mereka akhirnya gembira apabila bertemu dengan sekumpulan sami tempatan yang mendakwa remaja itu adalah ‘jelmaan dewa’.

Setelah tular dalam media sosial, Deshant berkata kini dia berasa cukup selesa menunjukkan ekornya kepada dunia.

“Ibu bapa saya dahulu menyembunyikan ekor saya, tetapi kini saya tidak berasa kekok menunjukannya kepada orang lain.

“Video tentang saya tular dalam TikTok dan kini ramai orang mengenali saya sebagai budak lelaki berekor, dan saya rasa bangga,” jelasnya dalam video yang disiarkan melalui YouTube.

Penerbit filem Puskar Nepal turut menemu bual Deshant dan membuat dokumentari tentang ekornya.

“Ibu bapanya tidak tahu tentang keadaannya sehingga mereka membawanya pulang ke rumah dari hospital lima hari selepas dia dilahirkan.

“Mereka membawanya ke beberapa hospital di dalam dan luar negara untuk mendapatkan rawatan namun usaha itu tidak berhasil.

“Kemudian mereka berjumpa dengan beberapa orang sami yang memberitahu mereka supaya jangan menyikat atau memotong ekor itu,” katanya.

Puskar menambah, sami-sami berkenaan mendakwa, remaja lelaki itu mungkin memiliki kuasa ajaib kerana dia mungkin jelmaan Dewa Hanuman iaitu Dewa Monyet.

“Mereka membiarkan ekor itu tumbuh secara semulajadi dan berhenti mendapatkan rawatan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here