Suami belasah isteri guna kayu angkara cemburu

0
248

PIHAK polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul isterinya dalam satu kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Layang-layang, Kluang, Johor pada Jumaat lalu.

Memetik laporan Kosmo! mangsa yang berusia 42 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat dipukul kayu dalam kejadian sekitar jam 12.51 tengah hari itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek yang merupakan seorang penjual air bertindak memukul isterinya ekoran cemburu dengan mangsa yang dikatakan bermain kayu tiga.

“Pada Jumaat lalu pada pukul 12.51 tengah hari satu kejadian mendatangkan kecederaan melibatkan seorang wanita oleh suaminya berlaku di Ladang Sindora, Layang-layang.

“Suspek disyaki memukul isterinya dengan menggunakan kayu angkara cemburu.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Hajjah Khalsom,” katanya.

Susulan itu katanya, suspek telah ditahan oleh pihak polis di ladang berkenaan sekitar jam 3 petang pada Sabtu.

Menurut Abdul Razak, pihaknya telah merampas sebatang kayu yang digunakan suspek sebagai senjata untuk memukul isterinya.

Hasil semakan mendapati tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya lagi, suspek direman bermula hari ini hingga Rabu depan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here