Lima lelaki cedera ditembak selepas solat tarawih di Toronto

0
252

LIMA lelaki Muslim yang baharu sahaja selesai menunaikan solat tarawih, cedera ditembak dalam satu serangan secara rawak ke atas sebuah masjid di Toronto, Kanada pada pagi Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi ketika sekumpulan individu berkumpul di tempat letak kereta di kawasan Markham Road dan Lawrence Avenue East, untuk membincangkan tempat makan selepas mereka selesai solat,  kata polis.

“Ketika mereka berada di sini dan baru bersiap untuk pergi, tembakan kedengaran.

“Malangnya lima individu terkena tembakan dari apa yang kami percaya mungkin datang dari sebuah kenderaan yang bergerak di Markham Road,” kata pemangku Staf Superintendan David Rydzik.

Empat lelaki ditemui di tempat kejadian dengan kesan tembakan dan dibawa ke hospital dengan kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa, kata polis.

Mangsa kelima, yang juga mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, pergi sendiri ke hospital.

Polis berkata, mangsa berusia antara 28 dan 35 tahun, dan ada yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Tiga daripada mereka telah dibenarkan keluar dari hospital sekarang dan dua lagi dijangka pulih tidak lama lagi,” kata Rydzik.

Sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan ke arah lelaki itu tetapi tidak diketahui berapa ramai suspek yang terlibat dalam tembakan itu, menurut Rydzik.

Laporan awal polis berkata, suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kereta biru dan bergerak ke arah utara di Markham Road.

“Kami percaya bahawa suspek berada di dalam kenderaan yang sedang bergerak, tetapi kami sedang berusaha keras mengumpul rakaman video pengawasan untuk mencuba dan mengesahkannya,” kata Rydzik.

Polis berkata mereka tidak boleh menyatakan buat masa ini jika mangsa menjadi sasaran kerana pegangan agama mereka.

Rydzik menambah bahawa kumpulan lelaki itu nampaknya telah diserang secara rawak kerana tiada maklumat yang menunjukkan bahawa mereka terlibat dalam sebarang jenis jenayah.

“Mereka baharu selesai solat. Mereka berkumpul di sini kerana mereka telah berpuasa sepanjang hari. Mereka berkumpul di sini seperti biasa semasa Ramadan untuk memikirkan ‘di mana kita hendak pergi dan makan’ dan mungkin terus bercakap tentang Ramadan dan ia benar-benar membimbangkan.”

Dalam tweet yang diterbitkan petang Sabtu, Ketua Polis Toronto James Ramer berkata walaupun masih terlalu awal untuk mengesahkan motif serangan, unit jenayah kebencian terbabit dalam siasatan kes itu.

Ahli Lembaga Persatuan Muslim Scarborough Nadeem Sheikh berkata beliau bimbang dengan kejadian yang berlaku.

“Saya benar-benar kecewa dan bimbang. Saya risau. Lima lelaki matang, dewasa, berkeluarga ditembak pagi ini,” kata Sheikh.

“Kami menyeru pihak berkuasa tempatan supaya menggunakan setiap sumber yang mungkin untuk menangkap suspek ini dan untuk membendung keganasan senjata api dalam komuniti ini serta setiap komuniti lain di Toronto,” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here