Covid: Kes sembuh lebih tinggi berbanding kes baharu semalam

0
192

SEBANYAK 14,346 kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 dilaporkan semalam, lebih tinggi berbanding kes baharu iaitu 9,705 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu dilaporkan itu, 9,675 adalah kes tempatan dengan 96.1 peratus melibatkan warganegara dan 3.9 peratus bukan warganegara manakala 30 kes import terdiri daripada 83.3 peratus warganegara dan 16.7 peratus bukan warganegara.

“Sebanyak 331 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 146 kes atau 44.1 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala selebihnya 185 kes atau 55.9 peratus adalah kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula menurun kepada 81 pesakit semalam dengan peratusan penggunaan ventilator adalah sembilan peratus.

Mengenai fasiliti kesihatan khusus untuk kes COVID-19, Dr Noor Hisham berkata tiada negeri yang mencatat penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus manakala Putrajaya merekodkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu 53 peratus.

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hanya Perak mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu 56 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 10 kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah kluster yang aktif kini 116 kluster.

Menurutnya kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.85.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here