Ibu remaja mengidap autisme tidak berminat layan pelawaan Ronaldo

0
263

IBU kepada seorang remaja berusia 14 tahun dan mengidap autisme yang “diserang” Cristiano Ronaldo, enggan bertemu bintang bola sepak Manchester United itu selepas dihubungi wakilnya.

Polis kini sedang menyiasat insiden terbabit selepas kapten skuad kebangsaan Portugal itu dilihat menepis telefon bimbit penyokong muda itu ke lantai selepas kekalahan di Everton.

Ibu remaja terbabit, Sarah Kelly berkata wakil Ronaldo ada menghubunginya dan menjemput dia dan anak lelakinya, Jake Harding, untuk berjumpa di Old Trafford selepas video itu viral.

Namun, Kelly tidak berminat untuk menerima pelawaan bintang itu selepas dia ‘melempar’ telefon Jake ke lantai.

“Tiada apa yang saya mahu katakan kepadanya,” katanya kepada Sky News.

“Kenapa saya perlu ke Old Trafford? Kenapa ‘Biru’ mahu (melawat) ‘Merah?’,” katanya.

Kelly dari Upton, Merseyside, berkata Jake sedang merakam video pemain itu ketika sedang melalui terowong dan pemain itu dilihat mengalami kecederaan kaki.

Katanya, Jake yang mengidap autisme masih terkejut dengan apa yang terjadi.

“Dia tidak boleh menerima sesuatu dengan cara seperti mereka yang tidak ada sebarang masalah.”

Terdahulu, Ronaldo memohon maaf selepas video insiden itu tular.

“Saya ingin memohon maaf di atas sikap saya, jika boleh, saya ingin menjemput penyokong ini untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda semangat kesukanan dan fair-play,” kata Ronaldo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here