Pemandu van sekolah, seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan

SATU kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku melibatkan sebuah van sekolah di Lebuh Raya Pantai Baru berhampiran bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri di Bangsar, Kuala Lumpur.

Menurut maklumat yang dikongsikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi Facebook, pemandu van tersebut yang dikenali sebagai Janggut telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, salah seorang kanak-kanak tercedera di kepala, manakala beberapa orang kanak-kanak lain telah dihantar pulang.

Menerusi video berdurasi dua minit 19 saat yang tular di media sosial, didapati kanak-kanak itu menangis di bahu jalan akibat ketakutan.

Kelihatan salah seorang daripada mereka cedera di bahagian kepala manakala pemandu van tersebut tidak sedarkan diri walaupun pengguna jalan raya cuba untuk memanggilnya.

Sehingga kini, punca kemalangan masih belum diketahui. – SB