Tiga beranak maut nahas 3 kenderaan

0
281

TIGA beranak maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 128 Jalan Kuantan-Johor Bharu di Rompin, Pahang, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt. Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.

Mangsa terkorban adalah Nur Rawiyah Abu Samah, 25, yang juga pemandu kereta manakala dua lagi mangsa iaitu ibu dan bapa Nur Rawiyah – Saripah Ab Malek, 59, dan Abu Samah Mohamed, 74, kesemuanya beralamat di Kampung Gading, Jalan Muadzam Shah, Rompin.

Cucu Abu Samah dan Saripah yang berusia satu tahun Muhammad Harraz Mikhael Shafiq Hayqal bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan, lapor Bernama.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu pekerja syarikat penghantaran dari Leban Chondong ke Kuala Rompin hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta mangsa dan sebuah lori,” katanya.

Kamarulzaman berkata pemandu van berusia 24 tahun dari Kampung Tengah, Kuantan dilaporkan patah bahu dan cedera kedua-dua kaki manakala pemandu lori berumur 49 tahun dari Rompin luka di tangan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here