Pesawat kargo terputus dua di Costa Rica 

0
226

SEBUAH pesawat kargo Boeing 757-200 milik syarikat penghantar DHL terputus dua selepas terbabas ketika mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di Costa Rica, pada Khamis.

Menurut laporan Reuters, pengendali lapangan terbang berkenaan, Aeris, berkata kemalangan itu berlaku jam 10 pagi waktu tempatan dan kerja pembersihan selesai serta lapangan terbang dibuka semula jam 3:30 petang Khamis.

Menurutnya, penerbangan kira-kira 8,500 pengembara dan 57 penerbangan kargo komersial terjejas akibat penutupan sementara lapangan terbang itu.

DHL, sebahagian daripada Deutsche Post AG, berkata semua kru pesawat selamat dengan hanya seorang menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Gambar disiarkan akhbar Costa Rica, La Nacion, menunjukkan sebuah pesawat berwarna kuning dengan logo DHL tertera di sisinya sedang disembur dengan buih pencegah kebakaran selepas tersadai di padang berhampiran landasan.

Bahagian ekor pesawat dilihat terpisah daripada badannya dan satu sayapnya juga patah.

Menurut Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Costa Rica, Luis Miranda Munoz, pesawat berkenaan dijadualkan terbang ke Guatemala apabila mengalami kegagalan sistem hidraulik.

Berikutan itu, juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan sejurus selepas berlepas.

Jurucakap Boeing Co. berkata, pihaknya hanya akan menjawab kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, DHL dan pihak berkuasa lapangan terbang berkata, mereka sedang bekerjasama bagi mengalihkan pesawat itu tanpa menjejaskan operasi harian lapangan terbang.

“Pasukan tindak balas DHL sudah digerakkan dan siasatan akan dijalankan bersama pihak berkaitan bagi merungkai punca kemalangan,” kata DHL.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here