Irdina terbaik, kedudukan pertama daripada 10,000 pelajar di Virginia Tech

0
950

PELAJAR dari Malaysia, Irdina Shahriman telah mengharumkan nama negara apabila menjadi pelajar di kedudukan pertama daripada 10,000 penuntut lain di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.

Hal itu dicapai selepas beliau berjaya mencapai purata gred kumulatif (CGPA) 4.0 sepanjang tempoh pembelajarannya di universiti berkenaan.

Anak gadis berusia 24 tahun itu merupakan pemegang biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dan graduan Sarjanan Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik.

Memetik laporan Remaja, Irdina berkata, beliau sedikit gementar ketika berada di VT memandangkan kursus pengajiannya itu didominasi kaum lelaki.

“Saya bekerja keras untuk memperoleh keputusan cemerlang dan bukannya seorang genius secara semula jadi.

“Saya membuat nota dengan bersungguh-sungguh dan tidak ponteng kelas. Paling penting saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas untuk meningkatkan pemahaman tentang pembelajaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Irdina berkata, beliau banyak berkorban untuk mengecapi kejayaan tersebut memandangkan sistem pembelajaran di Amerika Syarikat adalah berbeza.

Katanya, sistem pembelajaran di situ mempunyai peperiksaan dua kali seminggu sepanjang semester.

“Jadi hal ini memerlukan pelajar untuk konsisten dalam pelajaran. Ada ketikanya saya terpaksa batalkan rancangan untuk keluar dengan rakan-rakan atau menonton filem bersama-sama.

“Cuti hujung minggu dan hari bekerja tidak ada bezanya dengan saya kerana banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan dan belajar untuk peperiksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here