Selepas 58 hari, kes COVID-19 kembali turun lingkungan 10,000

0
228

SELEPAS 58 hari, jangkitan COVID-19 di seluruh negara kembali mencatatkan penurunan sehingga ke paras 10,000 apabila merekodkan 10,002 kes semalam.

Trend penurunan itu juga adalah untuk hari ketiga berturut-turut selepas mencatatkan 12,380 kes kelmarin.

Kali terakhir kes berada pada lingkungan 10,000 adalah 58 hari lalu pada 6 Februari lalu iaitu sebanyak 10,089 kes.

Berdasarkan statistik harian semalam, kes sembuh jauh melebihi kes baharu dengan 23,302 didapati telah pun sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini telah pun menjangkau 4.256 juta kes.

Bagi status harian semalam, Dr. Noor Hisham memaklumkan, majoriti jangkitan masih berada dalam kategori 1 yang tidak bergejala dengan 5,495 kes.

Menurut beliau, hanya 0.89 peratus atau 89 kes didapati berada dalam kategori 3 hingga 5.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 30 kes berada dalam kategori 3, 33 kes merupakan kategori 4 dan 26 kes adalah kategori 5.

“Daripada 89 kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 itu, 31 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi; 34 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak manakala 24 lagi telah menerima dos penggalak.

“Sebanyak 51 kes merupakan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas di samping 60 kes dikesan mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 543 kes COVID-19 telah dimasukkan ke hospital semalam merangkumi 317 kategori 1 dan 2 serta 226 lagi merupakan kategori 3 hingga 5.

Sebanyak 236 kes pula memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 140 memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi penggunaan fasiliti kesihatan untuk kes COVID-19, jumlah penggunaan katil ICU terus menunjukkan penurunan dengan keseluruhan sebanyak 27 peratus telah digunakan.

Hanya dua negeri iaitu Kuala Lumpur yang merekodkan 60 peratus dan Perlis (55 peratus) menunjukkan peratusan pengisian katil ICU melebihi 50 peratus. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here