Kebakaran Pelabuhan Barat: 22 kontena musnah, tidak libat kargo berbahaya

0
193

SEBANYAK 22 kontena disahkan musnah oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), manakala 38 lagi terjejas dalam satu kebakaran di Pelabuhan Barat, pada petang Isnin.

Pengurus Besar LPK, Kapten K Subramaniam berkata, kebakarang yang berlaku di Yad Kontena Blok 07J Bay 0506 sekitar jam 4.15 petang itu, meliputi penyimpanan kargo biasa tanpa membabitkan sebarang kargo berbahaya.

“Api dikawal sepenuhnya jam 3 pagi hari ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Bomba Westports,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kecederaan dilaporkan, dengan jentera punggah turut tidak terjejas.

“Operasi pelabuhan berjalan seperti biasa kecuali di lokasi kejadian yang sudah ditutup untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya mengesahkan api sudah terkawal, namun operasi pemadaman masih dijalankan.

“Seramai 34 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) menyertai operasi bermula sejak petang semalam itu.

“Antara BBP terbabit adalah Pelabuhan Barat, Andalas, Kota Anggerik, Petaling Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Puchong, Subang, Serdang dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Norazam berkata, muatan kontena yang musnah antaranya alat ganti, alatan muzik, minyak pelincir serta benang dan pihaknya akan meneruskan operasi pemadaman hingga keadaan selamat sepenuhnya di lokasi kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here