Penjenayah bentuk kumpulan pecah rumah ketika dalam penjara

0
362

SERAMAI enam individu yang membentuk kumpulan ketika berada di dalam penjara untuk melakukan jenayah pecah rumah di beberapa negeri akhirnya tumpas selepas mula aktif pada awal Januari lalu.

Kesemua lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 47 tahun itu dengan ada yang mempunyai sebanyak 45 rekod jenayah serta seorang dalam buruan polis Selangor berkait kes dadah tumpas selepas memecah masuk sekurang-kurangnya 14 buah rumah.

Kesemua kes jenayah itu dilakukan di sekitar Pulau Pinang; Kuala Lumpur; Pahang; Perak dan Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, suspek berjaya ditahan polis dalam operasi berasingan di Kulim, Kedah dan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, operasi itu susulan satu laporan kejadian pecah rumah melibatkan seorang ejen pelaburan berusia 61 tahun di Air Itam, Pulau Pinang pada 26 Februari lalu membabitkan kerugian bernilai RM50,000.

Bertindak daripada laporan itu jelas beliau, polis melancarkan Op Pintu Mutiara dan berjaya menahan empat lelaki warga tempatan di sebuah rumah di Kulim, Kedah pada 25 Mac lalu.

Polis turut merampas dua buah kereta; 12 unit telefon bimbit; 11 utas jam tangan, beberapa keping wang tunai serta mata wang asing.

“Susulan itu juga, kita kemudian berjaya menahan dua lelaki termasuk dalang kumpulan ini berusia 45 tahun yang mempunyai 42 rekod jenayah membabitkan pecah rumah dan tiga rekod membabitkan dadah di Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Rahimi, kumpulan itu menyasarkan rumah didiami warga emas yang tinggal berseorangan di kawasan bandar untuk dipecah masuk.

Jelasnya, suspek yang antaranya bekerja sebagai kontraktor, penjual pakaian online, mekanik dan pengecat kereta menggunakan peralatan seperti kuku kambing, pengumpil mangga dan sebagainya ketika menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Dalam operasi sama ujarnya, polis turut merampas dua buah kereta; 12 unit telefon bimbit; 11 utas jam tangan, beberapa keping wang tunai serta mata wang asing.

Tambah beliau, dengan penahanan kesemua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM200,000 manakala enam kes lagi yang dilaporkan di Kedah, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu tambah Rahimi, polis juga sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai mempunyai peranan penting dalam kumpulan terbabit termasuk yang dikenali sebagai Lo Bin Son atau nama gelarannya Vincent berusia 39 tahun. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here