[VIDEO] Langkah Muhyiddin bukan terdesak tetapi strategi bijak – Penganalisis

0
1270

LANGKAH Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan kerjasama berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan langkah terdesak.

Malah, ia merupakan langkah dan strategi bijak bagi memenangi PRU-15 sekali gus mencapai kata sepakat untuk mengelakkan perkara yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor, berulang kembali.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar, langkah dalam mencari jalinan kerjasama seperti yang dilakukan Muhyiddin adalah perlu.

“Parti-parti yang menentang Barisan Nasional (BN) harus bekerjasama. Bagi saya, saya tak nampak ia terdesak, dia mahu buat kerjasama dengan parti Pejuang.

“Pejuang mungkin tidak kuat di Selatan Malaysia, tetapi di Utara mereka kuat. Jadi, itu sebabnya perlu adanya kerjasama antara mereka,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Terdahulu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan perjumpaan kedua-dua bekas Perdana Menteri itu bagi membincangkan kerjasama berdepan PRU-15.

Tambah Rusdi, langkah tersebut tidak terdesak kerana jika diambil kira di dalam arena politik, semua parti akan dilihat terdesak lebih-lebih lagi dalam tempoh yang mendekati PRU-15.

“Dalam aspek terdesak atau tidak, dalam politik sudah tentu terdesak. 

“Maknanya, Muhyiddin memerlukan sokongan daripada parti-parti yang lain, bukan hanya parti PN yang diketuai Bersatu sahaja terdesak, semua parti terdesak untuk memenangi PRU-15,” katanya.

Untuk rekod, Pejuang tewas semua kerusi yang ditandinginya semasa PRN Johor dan kesemua calonnya hilang deposit, satu keputusan yang teruk diperoleh.

Sementara itu, Perikatan Nasional yang terdiri daripada parti komponen Bersatu, PAS dan Gerakan berjaya memenangi tiga kerusi.

Selain itu, faktor peratusan pengundi dan parti pembangkang yang berpecah-belah antara punca yang menyumbang kepada kemenangan besar BN pada PRN Melaka dan Johor lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here