KDN cadang usul lanjutan SOSMA dibentang sidang Dewan Rakyat akan datang

0
219

KEMENTERIAN Dalam Negeri mencadangkan usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibentang dan diputuskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang sebelum tempoh subseksyen itu tamat 31 Julai ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya turut mencadangkan satu sidang khas Dewan Negara diadakan sebelum 31 Julai bagi membincangkan usul pelanjutan itu selepas dibawa semula ke Dewan Rakyat.

Mengikut Takwim mesyuarat kedua Dewan Rakyat dijadual pada 18 Julai hingga 4 Ogos manakala Dewan Negara pada 8 Ogos hingga 16 Ogos.

Hamzah berkata satu perbincangan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara bagi menentukan cara pelaksanaan bagi membincangkan usul itu.

“Saya sudah bercakap dengan mereka (Yang Dipertua) dan (perbincangan) akan dilakukan secepat yang mungkin,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan SOSMA di sini, hari ini.

Hamzah berkata pengenalan klausa had tempoh dalam SOSMA memberi ruang kepada kerajaan untuk menilai semua peruntukan subseksyen dalam akta itu setiap lima tahun sekali mengikut keperluan semasa.

Pada 23 Mac lepas, usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 bagi tempoh lima tahun itu tidak diluluskan di Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 85 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Subseksyen berkenaan membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

Terdahulu, Hamzah menerima memorandum sokongan berkaitan keperluan dan kepentingan Subseksyen 4(5) SOSMA daripada 10 NGO dan tokoh masyarakat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here