KDN bentang usul tempoh penahanan 28 hari SOSMA, kekal lima tahun lagi

0
419

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hamzah berkata, perlanjutan selama lima tahun lagi mulai 31 Julai depan, membolehkan pihak berkuasa untuk terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Perlanjutan itu akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

“Peruntukan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks.

“Tambahan pula, siasatan kes membabitkan kesalahan keselamatan, terutama jenayah keganasan dan jenayah terancang adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan bagi mendapatkan keterangan daripada orang yang ditahan ketika pengumpulan bukti berkaitan bagi tujuan pendakwaan, termasuk pengesanan rakan sejenayah yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun saja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang di dalam penguatkuasaannya, namun ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Hamzah berkata, tempoh 28 hari dalam akta itu hakikatnya tidak mencukupi kerana kes disiasat di bawah SOSMA adalah sangat rumit dan kompleks, apatah lagi membabitkan kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian luas.

Beliau juga menafikan SOSMA sebagai undang-undang zalim, selain menegaskan Subseksyen 4(3) memperuntukkan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan mengikut seksyen ini semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik mana-mana individu.

Sejak 2016 sehingga Januari 2022, katanya, seramai 3,717 individu ditahan mengikut SOSMA, dengan 400 daripadanya ditahan kerana terbabit elemen kumpulan pengganas, 321 terbabit aktiviti sindiket penyeludupan manusia, 1,838 kerana kesalahan pemerdagangan manusia dan 1,030 di bawah kesalahan jenayah terancang.

Katanya, SOSMA juga digunakan untuk menghukum pengganas yang menyerang Sabah yang dilancarkan Jamalul Kiram III pada 2013, dengan 551 individu ditahan mengikut SOSMA, 31 individu dituduh dan lapan daripadanya dihukum gantung sampai mati.

“Selain itu, antara kes lain membuktikan Subseksyen 4(5) diperlukan, adalah serangan di Movida Kitchen Bar and Club Lounge di Puchong, Selangor serta sindiket menyeludup keluar 131 warga Sri Lanka dari perairan Malaysia untuk ke negara ketiga.

“Tanpa Subseksyen 4(5) dilanjutkan dan jumlah tahanan 28 hari tidak dikekalkan, kualiti siasatan pihak polis dikhuatiri akan terjejas kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam saja untuk menjalankan siasatan, menyediakan dan melengkapkan Kertas Siasatan, seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Pada hemat saya, pihak yang tidak bersetuju dengan SOSMA 2012 atau tidak menyokong usul melanjutkan Subseksyen 4(5) ini adalah golongan yang ingin membuka ruang kepada penjenayah dan pengganas bermaharajalela dalam negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here