Individu bawah 17 tahun diminta abaikan janji temu dos penggalak

0
238

IBU bapa atau penjaga kepada remaja berusia 17 tahun dan ke bawah yang menerima pautan janji temu dos penggalak dalam aplikasi MySejahtera diminta mengabaikannya.

Pada masa sama, individu dewasa yang telah menerima dos penggalak tetapi masih menerima pautan janji temu baharu juga diminta untuk mengabaikan janji temu tersebut.

Unit MySejahtera, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, terdapat isu teknikal menyebabkan sistem berkenaan telah menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada remaja iaitu golongan berusia 17 tahun dan ke bawah.

Menurut unit tersebut, isu teknikal itu juga berlaku kepada individu dewasa yang sudah pun menerima dos penggalak.

Katanya, dasar KKM buat masa ini menyarankan dos penggalak hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun ke atas dan tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan kepada umum.

“KKM dalam kenyataan media dikeluarkan pada 17 Mac lalu memaklumkan bahawa tempahan slot vaksinasi bagi individu yang belum menerima vaksinasi lengkap, dos penggalak atau pun vaksinasi kanak-kanak boleh dibuat melalui pautan yang dihantar bersama janji temu ke aplikasi MySejahtera.

“Pautan janji temu akan diberikan secara automatik mengikut sela masa yang ditetapkan berdasarkan jenis vaksin.

“Memandangkan janji temu dalam sistem MySejahtera dihantar secara automatik, terdapat isu teknikal di mana sistem tersebut telah menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Unit MySejahtera turut meminta individu yang telah membuat janji temu dos penggalak untuk tanggungan atau dos keempat melalui pautan yang dihantar supaya membatalkan janji temu berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, individu terbabit juga tidak perlu hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“PPV telah dimaklumkan tentang perkara ini dan mereka akan menolak kehadiran remaja untuk dos penggalak dan juga individu yang hadir untuk dos penggalak kedua atau dos keempat.

“Pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal ini,” jelasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here