4 PRN: RM420 juta wang rakyat sudah dibelanjakan

0
230

KOS sebanyak RM420 juta dibelanjakan oleh Kerajaan bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka, Sarawak, dan Johor antara tahun 2020 hingga Mac 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi melaksanakan PRN di Melaka dan Sarawak pada tahun lalu, sebanyak RM 194 juta daripada jumlah itu dibelanjakan.

“Kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pelaksanaan beberapa siri Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), adalah RM130 juta untuk PRN Sabah Ke-16 (pada 2020).

“Selain itu, RM45 juta bagi PRN Melaka Ke-15 (pada 2021); RM149 juta untuk PRN Sarawak Ke-12 (pada 2021) dan RM96 juta bagi PRN Johor Ke-15 (tahun ini),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) yang bertanyakan perbelanjaan keseluruhan setiap PRN di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

Menurut Wan Junaidi, kos pelaksanaan PRN itu antara lain merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan teknologi komunikasi maklumat, logistik, elaun petugas dan keperluan lain berkaitan.

“Perbelanjaan ini turut mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here