Perlu pinda perlembagaan parti untuk tangguh pemilihan UMNO – Annuar Musa

0
321

PERLEMBAGAAN UMNO perlu dipinda jika mahu pemilihan parti ditangguhkan seperti usul yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 baru-baru ini, kata Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, pelaksanaan perkara itu memerlukan perlembagaan parti dipinda terlebih dahulu.

Beliau merujuk mengenai keputusan yang diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan penggulungan di PAU 2021 pada Sabtu lalu.

“Ini terlebih dahulu memerlukan Perlembagaan UMNO dipinda,” katanya ringkas dalam satu ciapan di Twitternya, hari ini.

Annuar turut berkongsi pautan berita kenyataan Mohamad mengenai usul supaya pemilihan parti ditangguhkan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam ucapan penggulungannya Sabtu lalu, Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti berkata perkara yang hangat dibangkitkan dalam parti itu sejak akhir-akhir ini telah selesai.

Beliau turut meminta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan segera memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung perkara itu.

“Usul sudah diluluskan, setiausaha buat memo, ikut usul itu, pemilihan parti diadakan dalam masa enam bulan selepas PRU, kita tidak mahu perpecahan dalam parti, jangan pandang ringan, pertahankanlah martabat UMNO.

Mohamad dalam ucapannya turut minta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno supaya memantau hal itu, supaya tiada pihak yang menghalang penangguhan pemilihan parti berkenaan.

Pemilihan UMNO dijadual diadakan selewat-lewatnya Disember ini selepas ditangguh pada tahun lepas berikutan pandemik Covid-19.

Mohamad berkata perkara yang membimbangkan sekiranya pemilihan diadakan sebelum pilihan raya adalah perpecahan akan berlaku dalam parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here