Gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei – PM

0
222

KERAJAAN meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini, umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata perkara itu akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Bagi syarikat-syarikat mikro yang mempunyai kurang pekerja dan kurang pendapatan, Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M. Saravanan) akan berbincang dengan Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) mohon agar tangguhkan dulu (penguatkuasaan) kepada syarikat-syarikat kecil ini,” katanya.

Ismail mengumumkan perkara itu ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.

Dalam sesi sama, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa cadangan Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak akan lagi dibentangkan di Parlimen.

Mengambil kira pandangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO, maka kadar kompaun yang terkandung dalam akta berkenaan akan dikekalkan, katanya.

“(Di bawah) Akta 342 (mengenai) kawalan penyakit berjangkit, iaitu denda RM10,000 untuk individu langgar SOP (prosedur operasi standard) dan RM50,000 untuk syarikat, akta tersebut tidak akan dibawa ke Parlimen dan akta lama akan dikekalkan dengan denda RM1,000,” kata Ismail Sabri.

Bacaan kali pertama pindaan Akta 342 dibentang oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Disember tahun lepas, antara lain bagi menaikkan kadar kompaun kepada individu yang melanggar SOP daripada RM1,000 kepada RM10,000 manakala bagi syarikat kepada RM50,000.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu sepatutnya dibentang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, yang bersidang sehingga 24 Mac. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here