Sungai Siput dilanda banjir kilat

0
365

BEBERAPA kawasan sekitar Sungai Siput, Perak dilanda banjir kilat sejak malam tadi susulan hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata antara kawasan terjejas adalah di Taman Kledang Fasa II, Kampung Che Zainal, dan Kampung Muhibbah yang dinaiki air mencecah paras satu setengah meter.

Difahamkan, banjir kilat turut melanda Kampung Ramasamy, di kawasan yang sama.

Katanya, panggilan berhubung kejadian diterima jam 10.06 malam tadi dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput diatur gerak ke lokasi, dibantu oleh BBP Ipoh, selain dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) iaitu Chemor dan Pekan Baru.

“Seorang wanita warga emas dipindahkan ke rumah jirannya yang berdekatan oleh JBPM,” katanya melalui kenyataan, awal pagi tadi. 

Operasi ditamatkan jam 3.30 pagi tadi susulan paras air yang semakin surut namun pemantauan masih dilakukan pasukan menyelamat.

Sementara itu, insiden berkenaan turut dilapor mengakibatkan kenderaan yang melalui Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran sebuah kilang pembuatan simen di Kanthan, Chemor terkandas selama beberapa jam apabila jalan digenangi air.

Berdasarkan video tular dikongsikan di media sosial, beberapa kenderaan terkandas di lokasi jalan berkenaan selain kelihatan sebahagian daripada kenderaan yang terkandas berpatah balik. 

Kejadian pokok tumbang merintangi jalan raya difahamkan turut berlaku berhampiran jalan yang digenangi air terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here