Mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor menurun pagi ini

0
446

JUMLAH mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 284 orang daripada 73 keluarga pagi ini berbanding 327 orang daripada 83 keluarga, semalam.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan terkini pada 8 pagi ini memaklumkan seramai 14 individu daripada empat keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang, Johor yang dibuka sejak Rabu lepas.

Di Melaka, hanya satu PPS dibuka pada 8 Mac lepas di daerah Jasin, iaitu di SK Parit Penghulu yang  menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga.

Sementara itu di Selangor, jumlah mangsa di daerah Kuala Langat dan Sepang kekal dengan 237 mangsa daripada 62 keluarga dan masih ditempatkan di lima PPS yang beroperasi.

Lima PPS tersebut adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Sekolah RTB Bukit Changgang dan SK Kota Warisan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here