PRN Johor: Hujan tidak halang anggota polis, tentera keluar mengundi

0
453

HUJAN renyai pada sebelah pagi tidak menghalang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, hari ini.

Antaranya ialah bekas Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang kini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, yang mengundi di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

Ayob Khan berkata beliau masih mengundi di Johor untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang kerana tempoh untuk menukar alamat pengundiannya setelah dipindahkan ke Bukit Aman berkuat kuasa 25 Januari lepas, akan mengambil masa tiga bulan.

“Tetapi selepas ini akan tukar ke sana (Kuala Lumpur),” kata Ayob Khan yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor dari Mac 2020 hingga Jan 2022.  Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman.

“Jika ditanya rindu Johor atau tidak, mestilah saya rindu tak kan tidak rindu, dua tahun saya berkhidmat di sini,” kata personaliti polis yang sentiasa menarik perhatian itu kerana mengendalikan kes-kes penting.

Turut meninjau proses pengundian awal di IPK Johor ialah Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat serta Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian awal yang bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada ATM, PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.

Selain kemudahan di IPK Johor, 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.

Anggota tentera melaksanakan undi awal di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalio Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.

Menurut SPR, sebanyak 39 peratus telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat 11 pagi hari ini.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini. Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here