BERKHIDMAT untuk menyelesaikan masalah rakyat; membantu mereka yang berbakat serta berinovasi untuk menjadi lebih maju dan membimbing golongan muda menggilap potensi diri tidak memerlukan seorang pemimpin itu untuk menjadi wakil rakyat terlebih dulu.
Semua itu, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit Perikatan Nasional (PN), Mohd. Huzair Lajis, menjadi pegangan dan pendekatan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini.
Menurut beliau, perkara pertama yang dilakukan apabila diberi amanah sebagai calon PN ialah mendekati warga Rengit untuk mengetahui permasalahan yang mereka hadapi dan mencari penyelesaian segera baginya.
“Contohnya, kesukaran golongan nelayan Rengit yang ketiadaan jeti di sini sehingga mereka terpaksa menumpang di jeti yang berada di Benut di Pontian untuk mendaratkan ikan.
“Setelah mengetahui punca kepada kerana itu saya telah menjalankan usaha menyelesaikan masalah itu. Hasilnya, nelayan Rengit bakal mempunyai jetinya sendiri di sini yang tinggal hanya kelulusan bajet untuk memulakan kerja-kerja pembinaannya,” katanya kepada SatuBerita ketika ditemui di pekan Rengit pada Isnin.

Jelas Huzair lagi, dalam pertemuan dengan warga Rengit, beliau telah bertemu dengan seorang anak muda tempatan yang amat berinovasi yang telah berjaya mencipta jentera pengangkut tandan sawit menggunakan enjin dan barangan terpakai dan hanya memerlukan kos pembinaan sekitar RM2,000 hingga RM3,000.
Melihat kepada potensi komersil jentera yang setakat ini telah hampir 100 buah terjual, beliau telah memanjangkannya kepada pihak yang berkenaan untuk dibantu mengkomersilkanya.
“Itu menunjukkan kepada saya, golongan muda Rengit perlu didekati untuk memahami apa keperluan dan bantuan yang diperlukan mereka untuk maju ke hadapan,” katanya.
Mohd. Huzair yakin dengan pendekatannya dalam kempen PRN Johor ini beliau akan dapat memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat Rengit walau apa pun keputusannya nanti. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.